3 Elemen Penting Memilih Bunga Tangan Sempurna

Jika anda perhatikan di dalam sesuatu majlis perkahwinan mahu pun pertunangan pastinya anda akan sering melihat pengantin perempuan dibekalkan dengan bunga tangan atau di panggil hand bouquet.

Selain dari elemen-elemen pada pakaian anda, perhatian harus juga diberikan kepada bunga tangan ini kerana ianya memainkan peranan yang amat besar pada penataan diri anda.

Fungsi utama bunga tangan ini adalah ianya mampu meningkatkan keceriaan kepada pengantin. Selain itu dengan adanya bunga tangan ini, ia dapat meningkatkan mood pada majlis itu.

Warna Bunga

Warna bunga tangan hendaklah bersesuaian dengan warna tema perkahwinan dan juga pakaian mempelai itu sendiri.  Carilah warna yang seiringan dengan keseluruhan pakaian pengantin tapi jangan serupa pula! Jika sama warna dengan pakaian maka tidak akan nampaklah elemen bunga ini.

Elakkan juga warna bunga tangan yang terlalu kontras dengan pakaian. Jika ingin lebih menarik anda boleh cuba gabungkan dua atau tiga warna yang hampir sama. Tapi janganlah terlalu banyak warna hingga menjadi cacamarba pula.

Elakkan warna yang terlalu terang. Juga elakkan warna floresen. Ia akan membuatkan pengantin nampak agak garang. Warna lembut tentunya lebih sesuai. Ia akan menampakkan anda lebih lemah-lembut dan pastinya lebih ayu.

Bentuk Dan Saiz

Bentuk bunga tangan pula biasanya agak ringkas. Jambangan ini dibentuk dengan menggabungkan beberapa kuntum bunga dengan tangkai yang sederhana panjang. Tangkainya biasa akan diikat dengan reben yang dilepaskan sederhana panjang.

Warna reben juga memainkan peranan penting dalam membentuk jambangan yang menarik. Jambangan yang dibentuk ini janganlah terlalu besar hingga menenggelamkan pengantin pula. Pastikan juga ikatannya kemas kerana anda pastinya tidak mahu bunga tangan ini terlerai ketika majlis berjalan.

Jenis Bunga

Bagaimana pula halnya dengan jenis bunga? Adakah anda inginkan bunga asli atau bunga tiruan?

Jika dibuat perbandingan sudah tentulah bunga asli jauh lebih menarik. Tapi harus diingat dari segi bajet sudah tentulah ianya lebih mahal dari bunga tiruan. Penjagaannya juga harus diambil kira agar bunga tersebut tidak layu.

Biasanya bunga asli ini akan dibiarkan terendam di dalam air sebelum digunakan. Apabila hendak digunakan sila pastikan ianya dilap dengan kering air pada tangkai ditoskan agar tidak membasahkan pakaian pengantin. Bunga asli yang biasa digunakan adalah seperti ros (mawar), tulip, lily, daisi dan juga orkid.

Bunga tiruan pula lebih murah harganya dan ia diperbuat dari plastik atau pun kain. Tapi harus juga diingat bahawa murah tu tak semestinya tak cantik. Kalau kena gayanya ianya tetap akan tampak menarik. Ada juga penggubah yang mahir mengadunkan bunga asli dengan elemen-elemen lain seperti kristal, manik dan reben.

 

bunga tangan

 

kredit : Pesona Pengantin

 

Leave a Reply